Friday 20 March 2020

Rahsia ?

Rahsia itu bukan lagi rahsia. Apabila ada mulut yang mula leka bercerita mengenainya. Apa makna disebalik rahsia? Tiada. Kosong. Rahsia bukan lagi bermakna rahsia kerana rahsia yang bakal membawa kehancuran.

Manusia dengan rahsia berpisah tiada. Setiap kali perkongsian hal peribadi, setiap kali ingin mengumpat keji, setiap kali ingin membuka aib diri, setiap kali itu perkataan RAHSIA mula meniti di bibir yang suci ini. Tetapi, akhirnya rahsia itu hanya tinggal rahsia yang bakal membawa kehancuran. Mengapa?

Setiap kali kata RAHSIA mula menjadi pembuka bicara, setiap kali itulah hidup kita penuh dengan ujian yang bakal melanda. Mengapa? Kerana RAHSIA ini yang akan menjadikan manusia lupa tentang sifat amanah yang sepatutnya ada dalam diri setiap manusia di atas muka bumi ini. Lihatlah, berapa ramai yang membongkar retak di dada sendiri kerana RAHSIA ? Lihatlah, berapa banyak keluarga porak-peranda kerana RAHSIA ? Lihatlah, berapa ramai anak muda tersalah langkah kerana RAHSIA ? Lihatlah, berapa banyak kehancuran rumah tangga kerana RAHSIA ?

Aksara RAHSIA ini sendiri telah membelenggu diri kita. Maka, rahsia bukan lagi rahsia setelah kita berjaya singkap apa makna disebaliknya. Maka, rahsia bukan lagi rahsia setelah kita berjaya memahami apa keburukan yang tersembunyi di sebaliknya.

Lihat, fikir, amal.

Kini, rahsia bukan lagi rahsia.

Tuesday 21 January 2020

Keluarga

Keluarga. Apa yang dimaksudkan dengan keluarga? Adakah manusia yang hanya mengalir di dalam tubuhnya darah yang sama? Atau mungkin takdir yang menentukan sesebuah keluarga tanpa kepentingan apa-apa? Ramai yang tidak sedar apa erti keluarga sehingga tidak mampu mendapatkan sebuah keluarga yang bahagia. Ada keluarga tapi ditolak tepi. Ada keluarga tapi bagaikan tiada. Mengapa? Kerana mereka menganggap keluarga tidak punyai apa-apa keistimewaannya. Tiada apa yang hendak dibanggakan dengan keluarga mereka. 

Setiap manusia di atas muka bumi ini menginginkan keluarga yang bahagia. Namun, di mana silapnya sehingga keluarga yang terbina tidak seindah yang dibayangkan. Tepuk dada, tanya iman. Di mana letaknya ilmu di dada sehingga tidak digunakan untuk membina sebuah keluarga Sakinah? Di mana letak akal fikiran yang waras sehingga tidak mampu menimbang tara sesuatu ilmu yang harus diutamakan dalam kekeluargaan? Di mana silapnya kita, sebagai seorang hamba yang diberi mandat serta tanggungjawab oleh yang Maha Esa untuk digelar khalifah di dunia? Masih termenung, memikirkan jawapan yang tak kunjung tiba.

Jangan disalahkan pucuk yang tidak mendengar kata, jika tunjangnya sendiri masih alpa dan leka. Jangan menuding jari pada sang bunga, sedang kumbangnya tidak memberi didikan yang sempurna. Jangan berbalah mengenai siapa betul siapa salah, jika akhirnya kita tahu jawapan pada awalnya. Anak, ibarat kain putih pada awal kelahirannya. Siapa yang bertanggungjawab mencorak kain putih tersebut jika bukan kita, ibu bapa yang sempurna akalnya. Yang pada awalnya berani membina bahtera, ingin meneruskan legasi anak cucu kita demi menegakkan agama tercinta. Namun, di mana akhirnya kita curahkan segala angan yang telah kita bina?

Ramai anak-anak menderita jiwa dan raga kerana menanggung kasih yang tak kunjung tiba. Ramai anak-anak menanti ucapan penghargaan daripada bibir orang tua namun lenyap di minda saja. Ramai anak-anak diabaikan sehingga merana jiwanya. Mengapa? Kerana, kasih sayang yang mereka dambakan bukan hanya kasih sayang yang terletak pada harta benda, bukan kasih sayang yang terletak pada besarnya rumah bak istana, bukan kasih sayang yang terletak pada di mana tempat percutian mewah yang ingin diteroka. Namun, anak-anak kita inginkan kasih sayang yang tulus ikhlas melalui hati nurani yang dibalut rohani yang sempurna, kelapangan masa untuk dikongsi bersama, penghargaan pada setiap detik hubungan kekeluargaan yang terbina, kesediaan kita sebagai ibu bapa untuk mendengar luahan hati mereka. Kasih sayang sebeginilah yang mereka dahagakan setiap waktu, setiap saat yang tak pernah kunjung tiba.

Lihat sahaja, berapa ramai anak di luar sana yang terlibat dengan gejala dadah, perjudian, tekanan jiwa dan pelbagai gejala negatif yang makin menjadi-jadi kebelakangan ini. Mengapa? Kerana berpunca daripada keluarga sendiri yang mempunyai kelompongan sana dan sini. Sehingga tidak mampu menutup kekosongan hati yang lohong dan bolong  tersebut. Ingin dituding pada siapa lagi? Pada jiran tetangga, pada sahabat yang hanya ada apabila kita di atas atau pada guru yang mendidik di sekolah? Jelas, jawapannya ada pada kita. Kita yang mencorak mereka, sehingga beginilah hasilnya. Ditanya lagi, di mana silap kita mendidik sehingga begini hasil yang dituai akhirnya?

Buka satu persatu kamus hidup yang telah kita lalui. Di aras mana letaknya tanggungjawab kita yang 5 kepada yang Esa? Di takat mana ilmu rumah tangga kita dari masa ke masa? Berpunca dari mana aliran duit rezeki kita? Bagaimana hubungan kita sesama Allah dan manusia di sekeliling kita? Buktinya ada di depan mata.

To be continued...