Friday 6 December 2019

Pengalamanku


Usrah Budi 3 kali ini merupakan salah satu pengalaman baru dalam hidup saya. Terdapat banyak ibrah yang saya dapat sepanjang menyertai usrah ini, tetapi saya hanya akan kongsikan 4 ibrah utama sahaja, iaitu:

  • Mengeratkan ukhwah. Sepanjang kelas Usrah Budi 3 ini berlangsung, bukan sahaja ukhwah antara naqibah dan anak didik sahaja yang dapat dicapai. Malah, ukhwah antara anak didik itu sesama sendiri yang dapat diberi perhatian. Walaupun antara kami anak didik usrah bawah seliaan Kak Farah mempunyai pelbagai jenis latar belakang, jurusan dan pandangan, tetapi kami berjaya meruntuhkan tembok yang menghalang kami daripada bersatu. Hasilnya, ukhwah kami makin erat terjalin antara satu sama lain.
  • Mengisi masa dengan perkara berfaedah. Kewujudan kelas Usrah Budi 3 ini juga mampu menjadikan masa lapang saya terisi dengan perkara yang berfaedah. Inisiatif naqibah untuk menjadikan kelas ini begitu kreatif dan produktif sangat saya hormati. Antara aktiviti yang berjaya memberi impak positif dalam diri saya ialah tadabbur al-Quran oleh naqibah, tugasan yang diberikan kepada anak didiknya untuk menghabiskan seberapa banyak misi secara berkumpulan di B4 dan program 'Explorace Hagung' yang telah dilaksanakan dengan jayanya. Kesemua aktiviti ini berjaya memberi faedah, bukan sahaja kepada kesihatan mental malah kesihatan fizikal.
  • Medium berkongsi rasa dan curahan hati. Kelas Usrah Budi 3 ini mampu menjadikan pelajar lebih terbuka kerana diberi peluang untuk berkongsi cerita atau meluahkan perasaan atau pengalaman yang pernah dihadapi. Setiap cerita yang dikongsi bukan sahaja mampu memberi nilai dan pengajaran kepada naqibah, malah kepada pelajar yang lain juga. Contohnya, ketika perkongsian mengenai kesihatan mental yang menjurus kepada stress, depression dan sebagainya.
  • Mendapat ilmu baru. Naqibah kelas Usrah Budi 3 yang dikenali sebagai Kak Farah, bukan sahaja memberi ilmu tentang keduniaan semata-mata malah meliputi ilmu akhirat yang tidak boleh dilupakan. Tugasan pelaksanaan program 'Explorace Hagung' yang diberikan bukan sahaja memberi ilmu baru kepada saya untuk mengendalikan program, malah memberi peluang kepada saya dan komiti lain untuk berkongsi ilmu dan ibrah dalam setiap permainan di checkpoint yang telah ditetapkan. Selain itu, tugasan hafazan bacaan solat Subuh juga memberikan saya beberapa ilmu baru ketika sesi soal jawab bersama naqibah. Banyak kekeliruan dan persoalan telah terjawab. Hal ini membuktikan, tugasan kelas Usrah Budi 3 bukan sahaja meliputi ilmu dunia malah ilmu akhirat. 
Sekian, jumpa lagi. :) 

No comments:

Post a Comment